KOTA BHARU - Petrol Ron 95 percuma yang diagihkan di Petronas Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, tadi, habis hanya dalam tempoh sejam.
Sejumlah 430 liter petrol itu dapat dirasai 300 penunggang yang beratur sepanjang 300 meter bersama motosikal masing-masing bermula pada jam 5.30 petang.
Program khidmat komuniti kumpulan laman sosial terkenal, IRDK (Info Rakyat Dalam Komuniti) tersebut mendapat tajaan seorang peguam, Muhammad Hasif Hasan dan penjual kosmetik, Nur Fasihah Husain.
Muhammad Hasif berkata, biarpun hanya RM3 petrol dibelanjakan bagi setiap pengguna, tajaan diharapkan dapat meringankan beban golongan sederhana yang menggunakan motosikal sebagai kenderaan menguruskan kehidupan seharian mereka.
"Program ini berjaya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pengguna dan maklum balas yang baik ini memberi gambaran kepada kami bahawa program seumpama ini boleh dianjurkan lagi pada masa hadapan.
"Objektif kami hanya mahu membantu meringankan bebanan pengguna walaupun dalam jumlah yang tidak besar, tetapi sedikit sebanyak tetap dapat membantu mereka," katanya.
Program julung kali itu juga mendapat kerjasama Pengurus Petronas Padang Tembak, Iskandar Afian Ismail yang turut menyediakan makan serta minuman percuma kepada para pelanggan.
Hadir sama, Pengasas IRDK, Rosman Awang Halim atau dikenali sebagai Kubi yang membantu menghebahkan program di laman berkenaan sejak semalam.
sinar harian
sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/minyak-percuma-habis-dalam-sejam-1.605360