Wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah merosakkan imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT. Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan akhirat yang kekal abadi.
Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya sudah tentu lebih hebat dari wanita lain. Namun INI TIDAK SAMA SEKALI BERMAKNA WANITA ITU LEBIH BAIK MELAKUKAN MAKSIAT DENGAN MEMBUKA TUDUNG, KERANA MEMBUKA TUDUNG ITU SENDIRI ADALAH SATU DOSA BESAR YANG BERASINGAN DENGAN MAKSIAT YANG DILAKUKANNYA. Hal gandaan dosa ini boleh difahami dari ayat seperti :-
يَا نِسَاء النَّبِيِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا
Ertinya : Hai isteri-isteri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya akan dilipat gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat. Dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah. ( Al-Ahzab : 30 )
Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas wanita bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan sebabnya adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW (Al-Jami' Li Ahkam AL-Quran ; AL-Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )
Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan kedudukannya dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat. Maka jika bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar kerana maksiat itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas. Bertaubatlah. Demikian juga halnya maksiat yang dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar dosanya dari dosa oleh lelaki biasa di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.
Fikir-fikirkan dengan iman wahai sahabat sekalian.
Sekian,
Ust Zaharuddin Abd Rahman